Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan diminta agar ‘duduk diam’ selepas PENCEN! – Presiden Perkira

KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan diminta agar ‘duduk diam’ selepas bersara daripada pasukan keselamatan.

Perkara itu ditegaskan Presiden Parti Ekonomi Rakyat Malaysia (Pekira), Mohd Ridzuan Abdullah apabila melihat Musa sekarang ini berlagak seperti ‘hero’ dalam mengutarakan isu berkaitan jenayah.

Menurutnya, sikap Musa yang cuba mengetengahkan aktiviti jenayah sembilan ketua penjenayah yang digelar ‘dragon’ boleh menimbulkan ketakutan kepada orang awam.

“Kenapa hari ini kata isu pelacuran, perjudian dan sebagainya dikawal oleh satu kumpulan. Tak logik bila keluar kenyataan yang tak sahih, tak jelas dan tak masuk akal,” katanya dalam satu sidang media di Johor Bahru.

Mengulas lanjut Ridzuan berkata, Musa tidak sepatutnya mengeluarkan kenyataan seperti itu kerana ia dibimbangi akan memakan dirinya sendiri setelah beliau tidak lagi berada di dalam pasukan Polis Diraja Malaysia.

Ridzuan berkata demikian mengulas mengenai rakaman video yang disiarkan laman portal pro pembangkang berhubung aktiviti satu kumpulan dikenali ‘9 Dragons’.

Pendedahan aktiviti kumpulan terbabit yang terlibat dengan kegiatan perjudian haram serta semua aktiviti tidak bermoral di negara ini sejak bertahun-tahun lamanya sebelum ini dibuat oleh Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) dan disiarkan sebuah akhbar arus perdana.

Ketua Aktivisnya, Datuk Nadzim Johan mendakwa, 9 Dragons telah lama bertapak di Malaysia dan kumpulan sindiket jenayah terbabit semuanya mempunyai kuasa di dalam agensi penguatkuasa di negara ini.

Dalam pada itu, Ridzuan turut menegur PPIM agar berhati-hati dalam membuat pendedahan seperti itu bagi mengelak diri mereka daripada menjadi mangsa kumpulan ganas 9 Dragons.

“Kita tidak mahu PPIM menjadi mangsa kumpulan ini. Sebelum ini ada anggota Mywatch jadi mangsa,” katanya yang menyingkap insiden serangan ke atas pengerusi sebuah NGO, R Sri Sanjeevan yang ditembak dua lelaki dalam kejadian di Jempol pada 2013. – MalaysiaGazette

 

GV4 – Minggu Pertama Semua Bagus (Tok Ram)

KUALA LUMPUR: Juri tetap pertandingan Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Datuk Ramli MS berpuas hati dengan persembahan 12 penyanyi pada konsert minggu pertama.

Menurut Ramli, penyanyi yang dipilih menunjukkan kualiti bersesuaian dengan status mereka sebagai penghibur berpengalaman.

“Saya gembira dengan persembahan 12 peserta dan mereka benar-benar layak dan sesuai dengan kualiti serta tahap pengalaman masing-masing.

“Tak ada banyak nak komen, semuanya bagus dan kita lihat pula persembahan mereka minggu depan,” katanya.

Aishah yang muncul dengan lagu Janji Manismu mendapat sorakan daripada orang ramai.

Ramli ditemui pada sidang media Konsert GV4 minggu pertama di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini pada malam Ahad.

Persembahan minggu pertama menyaksikan Hazami menyanyikan lagu Mungkir Bahagia, Tia Jinbara (Farhana), Lan Kristal (Seragam Hitam), Aqasha (Embun), Firman (kehilangan) dan Ferhad (Kasih berubah).

Selain itu, Liza Hanim (Siapa sangka Siapa Menduga), Elyana (Tak Tercapai Akalmu), Syura (Nazam berkasih), Azura (Hati Terkunci), Haida (Zapin Usik Mengusik) dan Aishah (Janji Manismu)

Semua lagu yang dinyanyikan ialah lagu popular milik mereka sendiri.

Elyana muncul dengan imej tidak berkasut mengulangi identiti serupa yang pernah dilakukannya dalam Anugerah Industri Muzik 2005.

Juri tetap dari Indonesia Hetty Koes Endang pula  berpendapat peserta menunjukkan kualiti persembahan yang menarik dan memukau.

“Sebelum bersetuju menjadi juri tetap, saya bertanya dahulu kepada pengurus saya siapakah peserta.

“Bila diberitahu saya terus bersetuju dengan tawaran tersebut.

“Hari ini, konsert pertama saya kagum dengan program ini yang ternyata menampilkan peserta yang berkualiti dan hebat.

Persembahan Hazami mendapat pujian juri.

“Kami sebagai juri tak pilih kasih tetapi harus diingatkan cabaran selepas ini lebih besar,” katanya.

Prof. Datuk Redzuwan Ismail atau Chef Wan menjadi juri jemputan manakala Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih mengacarakan program musim ini.

Dalam pada itu anugerah Gelora Vida Vaganza iaitu kategori Lagu Paling Ingat telah menjadi milik Elyana.

Juara Gegar Vaganza musim keempat bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara.

Aqasha menyanyikan lagu Embun.

Tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

GV4 disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Sumber : MStar Online

Vellfire Nabil kena curi petang semalam.. Sebelum konsert GV4 bermula..

KERETA Toyota Vellfire milik pelawak Nabil Ahmad, 34, hilang dipercayai dicuri di Damansara, hari ini.

Nabil menyedari kehilangan kereta itu selepas tamat acara di sekolah anaknya.

“Saya sangka tersalah letak tapi selepas puas mencari, baru sedar ia dicuri,” katanya.

Nabil meletak kereta itu di depan sekolah pada 1 tengah hari dan apabila keluar pada 2.30 petang mendapati kereta itu sudah tiada.

Nabil yang menghadiri acara itu bersama isteri dan anaknya, terpaksa pulang ke rumah dengan kenderaan polis selepas membuat laporan di Balai Polis Taman Tun Dr Ismail (TTDI), di sini.

Namun, Nabil terpaksa melupakan seketika perkara itu kerana perlu mengacara program realiti Gegar Vaganza musim keempat (GV4) yang disiarkan secara langsung malam ini.

 

Ini kejadian kedua menimpanya kerana pada 2013, kereta Mitsubishi Lancer miliknya dipecah masuk ketika dia dan isteri sedang makan malam di sebuah restoran di Sungai Buloh.

Sumber : Harian Metro