GV4 – Minggu Pertama Semua Bagus (Tok Ram)

KUALA LUMPUR: Juri tetap pertandingan Gegar Vaganza musim keempat (GV4), Datuk Ramli MS berpuas hati dengan persembahan 12 penyanyi pada konsert minggu pertama.

Menurut Ramli, penyanyi yang dipilih menunjukkan kualiti bersesuaian dengan status mereka sebagai penghibur berpengalaman.

“Saya gembira dengan persembahan 12 peserta dan mereka benar-benar layak dan sesuai dengan kualiti serta tahap pengalaman masing-masing.

“Tak ada banyak nak komen, semuanya bagus dan kita lihat pula persembahan mereka minggu depan,” katanya.

Aishah yang muncul dengan lagu Janji Manismu mendapat sorakan daripada orang ramai.

Ramli ditemui pada sidang media Konsert GV4 minggu pertama di Dewan Sri Putra, Bukit Jalil, di sini pada malam Ahad.

Persembahan minggu pertama menyaksikan Hazami menyanyikan lagu Mungkir Bahagia, Tia Jinbara (Farhana), Lan Kristal (Seragam Hitam), Aqasha (Embun), Firman (kehilangan) dan Ferhad (Kasih berubah).

Selain itu, Liza Hanim (Siapa sangka Siapa Menduga), Elyana (Tak Tercapai Akalmu), Syura (Nazam berkasih), Azura (Hati Terkunci), Haida (Zapin Usik Mengusik) dan Aishah (Janji Manismu)

Semua lagu yang dinyanyikan ialah lagu popular milik mereka sendiri.

Elyana muncul dengan imej tidak berkasut mengulangi identiti serupa yang pernah dilakukannya dalam Anugerah Industri Muzik 2005.

Juri tetap dari Indonesia Hetty Koes Endang pula  berpendapat peserta menunjukkan kualiti persembahan yang menarik dan memukau.

“Sebelum bersetuju menjadi juri tetap, saya bertanya dahulu kepada pengurus saya siapakah peserta.

“Bila diberitahu saya terus bersetuju dengan tawaran tersebut.

“Hari ini, konsert pertama saya kagum dengan program ini yang ternyata menampilkan peserta yang berkualiti dan hebat.

Persembahan Hazami mendapat pujian juri.

“Kami sebagai juri tak pilih kasih tetapi harus diingatkan cabaran selepas ini lebih besar,” katanya.

Prof. Datuk Redzuwan Ismail atau Chef Wan menjadi juri jemputan manakala Nabil Ahmad dan Jihan Muse masih mengacarakan program musim ini.

Dalam pada itu anugerah Gelora Vida Vaganza iaitu kategori Lagu Paling Ingat telah menjadi milik Elyana.

Juara Gegar Vaganza musim keempat bakal membawa pulang hadiah wang tunai RM100,000 berserta trofi manakala RM50,000 untuk naib juara.

Aqasha menyanyikan lagu Embun.

Tempat ketiga, keempat, kelima dan keenam pula masing-masing bakal membawa pulang wang tunai sebanyak RM30,000, RM20,000, RM15,000 dan RM10,000 beserta trofi.

GV4 disiarkan secara langsung di saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123).

Sumber : MStar Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *