Lelaki Tanpa Tangan Ini Tinggal Bersama Dengan Ibunya Yang Lumpuh. Cara Lelaki Itu Menyuapkan Ibunya Sangat Menyentuh Perasaan

Selalunya, anak-anak akan memilih untuk tinggal berasingan dengan ibu bapanya sebaik sahaja mereka sudah mula bekerja dan mampu untuk hidup berdikari. Namun, terdapat juga orang yang masih tinggal bersama-sama dengan ibu bapa mereka kerana situasi yang tidak mengizinkan.

Seorang lelaki yang berasal dari Chongqing, China ini tinggal bersama-sama ibunya yang lumpuh. Chen Xinyin yang berusia 48 tahun telah kehilangan kedua-dua belah tangannya akibat terkena renjatan elektrik yang teruk ketika dia berusia 7 tahun dan semenjak dari hari itu, Chen terpaksa belajar untuk menempuhi kesusahan hidup tanpa bergantung kepada orang lain.

Ketika usianya menginjak 14 tahun, dia telah belajar cara-cara untuk bercucuk-tanam daripada ayahnya. Namun, selepas 6 tahun kemudian, ayahnya pula telah meninggal dunia dan kematian ayahnya ini telah menyebabkan Chen perlu menjadi tulang belakang bagi menyara keluarganya itu.

Meskipun Chen tidak mempunyai kedua belah tangan seperti remaja lain yang sebaya dengannya, Chen mampu untuk melakukkan semua pekerjaan tanpa memerlukan sebarang bantuan daripada orang lain.

Bagi menggantikan tangannya, Chen terpaksa belajar menggunakan kedua-dua belah kakinya untuk bekerja dan memasak, malah dia juga rajin ke kebun setiap hari. Bukan sahaja kaki malah anggota badan yang lain turut digunakan oleh Chen untuk membuat sesuatu pekerjaan.

Perkara yang paling menyayat hati adalah dedikasi dan kasih sayang Chen terhadap ibunya. Disebabkan ibunya lumpuh, ibunya tidak boleh bergerak dan Chen akan menyuapkan ibunya menggunakan sudu yang dikepit dengan menggunakan mulutnya.

Melihat kejadian itu, jirannya menyuruh untuk Chen berhenti berkerja dan menjadi seorang pengemis. Tetapi Chen hanya menjawab yang walaupun dia tidak mempunyai sepasang tangan, tetapi dia masih mempunyai kaki yang baik.

Chen turut menambah yang dia tidak biasa mencari rezeki dengan cara mengemis dan meraih simpati daripada orang ramai.  Sejak kematian ayahnya, adiknya pergi meninggalkan rumah untuk mencari pendapatan yang lebih baik. Chen tetap tinggal di rumah menjaga ibunya walaupun dirinya sendiri memiliki kesulitan.