SINDROM PATAH HATI BOLEH MEMBAWA MAUT

Sindrom Patah Hati yang juga dikenali sebagai Takotsubo Cardiomyopathy adalah satu masalah kesihatan yang mirip dengan serangan jantung dan selalunya berpunca daripada perasaan sedih dan kecewa yang amat kuat. Golongan wanita merupakan golongan yang selalunya mendapat serangan ini.

Nama takotsubo berasal dari perkataan jepun, yang membawa maksud “ perangkap sotong “. Keadaan ini mula-mula ditemui oleh Dr. Hikaru Sato pada tahun 1991. Menurut Dr. Hikaru Sato, jantung pesakit menunjukkan pembesaran yang abnormal di sebelah kiri ventrikel jantung. Ia menyerupai sebuah balang yang biasanya digunakan untuk menangkap sotong oleh masyarakat jepun.

Sumber Imej : Life in The Fast Lane

Pesakit selalunya akan mengalami tanda-tanda serangan jantung seperti sakit dada yang teruk dan sesak nafas. Penyiasatan rutin yang dilakukan di hospital untuk mengesan serangan jantung seperti penyiasatan Electrocardiogram (ECG)dan ujian darah akan menjadi positif. Namun setelah penyiasatan lebih lanjut seperti angiogramechocardiogram, magnetic resonance imaging (MRI) dilakukan, tiada sebarang penyumbatan pada salur darah jantung dikesan yang mana penyumbatan salur sarah adalah penyebab utama serangan jantung yang biasa.

Selain itu, menerusi sejarah pesakit yang diambil oleh doktor selalunya mendapati pesakit sedang mengalami tekanan emosi yang kuat akibat masalah seperti putus cinta dan kematian orang tersayang. Melalui penyiasatan-penyiasatan yang dijalankan dan riwayat yang diambil dari pesakit, barulah masalah ini dapat disahkan sebagai sindrom patah hati.

Negara Jepun telah melaporkan sindrom ini ke negara barat pada tahun 2001 dengan nama lain iaitu Transient Left Ventricular Apical Ballooning.

Patogenesis bagi masalah ini masih lagi belum dapat dipastikan secara jelas. Namun, terdapat beberapa kajian telah dilakukan dan salah satunya menyatakan bahawa tindakan saraf simpatetik yang keterlaluan akibat faktor penggalak seperti tekanan emosi yang kuat dan kehadiran hormon Catecholamines seperti adrenaline dan dopamine yang berlebihan menyebabkan kecederaan otot jantung (myocardium).

Prognosis bagi masalah ini adalah baik dimana kebanyakan pesakit dilaporkan telah berjaya disembuhkan. Namun, sekiranya tidak diberi rawatan awal yang sepatutnya, Sindrom Patah Hati ini mampu membunuh anda kerana ianya melibatkan kecederaan jantung yang sudah pastinya sangat berbahaya.

Oleh itu, sekiranya anda baru sahaja ditinggalkan kekasih hati, janganlah terlalu bersedih kerana ibarat pepatah orang lama ; bunga bukan sekuntum, kumbang pula bukan seekor. Begitu juga halnya bagi perkara lain yang merunsingkan anda, ingatlah bahawa setiap musibah itu punya hikmah tersembunyi.“Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu, padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak mengetahui.” (Al-Baqarah: 216).

Sumber : thediagnosa.com

Hidung Berdarah(Epistaxis): Punca dan Cara Rawatan

Hidung berdarah atau epistaxis selalu berlaku dikalangan kanak-kanak. Ini menyebabkan terutamanya ibubapa bimbang akan kesihatan anak mereka. Ia juga menjadi salah satu punca untuk ibubapa membawa anak mereka berjumpa dengan doktor.

Tetapi perkara ini selalu berlaku di dalam masyarakat hingga menyebabkan kebanyakan individu menganggapnya sebagai sesuatu yang tidak serius.

1. Istilah Perubatan:

Epistaxis: Pendarahan dalam hidung
Plexus: Jaringan saluran darah
Nasal packing: Rawatan hidung berdarah dengan cara memasukkan satu kain khas ke dalam lubang hidung
Prognosis: Kesudahan pesakit yang mengalami masalah tersebut
Patofisiologi: Bagaimana penyakit itu berlaku

2. Pengenalan

Hidung berdarah atau dalam istilah perubatannya epistaxis merupakan keadaan yang berlaku disebabkan pecahnya saluran darah dibahagian hidung.

Keadaan ini selalunya tidak serius dan pendarahan tersebut akan berhenti dengan sendirinya. Tetapi ia mungkin akan mendatangkan kerisauan terutamanya dikalangan ibubapa.

Epistaxis selalu berlaku pada kanak-kanak

Epistaxis boleh dibahagikan kepada dua jenis iaitu pendarahan di bahagian hadapan dan pendarahan dibahagian belakang.

3. Anatomi

Hidung adalah bahagian badan yang kaya dengan saluran darah. Ianya mendapat bekalan darah daripada karotid arteri dalam(internal karotid artery) dan luar(external carotid artery).

Pendarahan hidung bahagian hadapan

Dibahagian hadapan hidung, terdapat satu jaringan salur darah yang banyak dan ia dikenali sebagai Kiesselbach plexus. Ia terletak di dinding bahagian tengah yang membahagikan dua lubang hidung. Kiesselbach plexus merupakan tempat yang selalu berlaku pendarahan kerana lapisan kulit luarnya yang sangat nipis.

Epistaxis yang berlaku dibahagian ini dikategorikan sebagai pendarahan di bahagian hadapan dan ia melibatkan pendarahan di sebelah lubang hidung sahaja.

Kiesselbach plexus terletak pada septum tisu rawan(Cartilage of septum)

Pendarahan hidung bahagian belakang

Di belakang bahagian hidung juga terdapat satu jaringan saluran darah yang dikenali sebagai Woodruff plexus. Ia berada dibelakang turbin hidung yang terakhir. Pendarahan pada bahagian ini selalunya melibatkan pendarahan pada kedua-dua belah hidung dan ianya lebih serius.

4. Patofisiologi

Pendarahan hidung selalunya berlaku apabila lapisan mukosa yang melapisi jaringan saluran darah(plexus) terhakis dan menyebabkan salur darah tersebut pecah.

Lebih daripada 90% pendarahan hidung berlaku pada bahagian hadapan hidung. Dimana ia melibatkan Kiesselbach plexus. Pendarahan pendarahan bahagian ini selalunya melibatkan sebelah bahagian hidung sahaja dan mudah untuk diberhentikan.

Manakala 10% daripada pendarahan hidung berlaku pada bahagian belakang hidung. Pendarahan pada bahagian ini selalunya lebih banyak dan lebih berbahaya. Jika pendarahan tersebut teruk, ia boleh menyebabkan saluran pernafasan tersumbah, pesakit tersedut darah ke dalam paru-paru dan pendarahan tersebut lebih susah untuk dikawal

5. Punca

Penyebab hidung berdarah boleh dibahagikan kepada beberapa perkara

1. Trauma

Trauma dibahagian dalam hidung boleh disebabkan seseorang itu suka mengorek hidungnya yang menyebabkan pembentukan ulser serta pendarahan. Senario ini selalunya berlaku pada kanak-kanak.

Trauma seperti ditumbuk dibahagian hidung juga boleh menyebabkan pendarahan dibahagian tersebut. Jika ia melibatkan trauma yang teruk, ia mungkin menyebabkan pendarahan yang tidak terkawal dan memerlukan rawatan ‘nasal packing’ dimana satu kain yang khas akan dimasukkan ke dalam hidung untuk memberhentikan pendarahan dikawasan tersebut

2. Udara yang kering

Kawasan yang mempunyai kelembapan yang rendah boleh menyebabkan iritasi pada lapisan dalam hidung. Ini akan menyebabkan lapisan mukosa serta saluran darah mudah untuk pecah dan menyebabkan pendarahan.

Penggunaan mesin untuk melembabkan udara di dalam rumah boleh membantu dalam menghadapi masalah tersebut

3. Radang

Jangkitan kuman seperti virus dan bakteria yang menyebabkan selesema boleh menyebabkan saluran darah dikawasan tersebut mengembang dan pecah.

Begitu juga mereka yang mempunyai masalah resdung (allergic rhinitis). Ia juga akan menyebabkan saluran darah dibahagian tersebut senang untuk pecah.

4. Tumor

Ketumbuhan dalam hidung boleh menyebabkan hidung berdarah. Pesakit selalunya akan mengadu sumbat pada salah satu bahagian hidung.

Kadang-kadang terdapat pesakit yang mempunyai angiofibroma.

5. Tekanan darah tinggi

Jarang bagi mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi boleh menyebabkan pecahnya saluran darah dibahagian hidung. Tetapi ia boleh berlaku.

6. Prognosis(Kesudahan)

Bagi masyarakat, hidung berdarah adalah sesuatu yang tidak merisaukan. Tetapi kadang-kadang ia boleh mengancam nyawa, terutamanya jika ia berlaku pada mereka yang sudah berumur ataupun mempunyai penyakit kronik yang lain.

Kematian disebabkan hidung berdarah adalah sangat jarang berlaku. Itupun jika ia melibatkan pendarahan hidung yang sangat teruk.

Oleh itu, secara keseluruhan prognosis untuk masalah ini adalah sangat bagus.

7. Komplikasi 

Beberapa komplikasi yang boleh dihadapi oleh pesakit ini adalah:

  • Jangkitan kuman sinus(Sinusitis)
  • Septal hematoma
  • Tersedak darah

8. Diagnosa-diagnosa lain

Beberapa diagnosa lain yang mempunyai simptom yang sama adalah:

  • Keracunan dadah kokain
  • Disseminated Intravascular coagulopathy(Kecelaruan dalam pembekuan darah yang berlaku pada seluruh badan)
  • Objek asing di dalam hidung
  • Hemophilia
  • Penyakit von Willebrand disease

9. Penyiasatan

Selalunya pesakit yang mempunyai pendarahan sekali ataupun tidak selalu tidak memerlukan sebarang penyiasatan. Pengambilan sampel darah hanya diperlukan pada pesakit yang selalu mengalami masalah tersebut.

Beberapa jenis bacaan boleh diketahui dengan pengambilan sampel darah:

  • Jumlah platlet dalam darah: Platlet digunakan untuk pembekuan darah. Jika jumlahnya terlampau rendah ia boleh menyebabkan pendarahan yang berlaku secara tiba-tiba
  • Bacaan pembekuan darah seperti ‘Internatinal normalized ratio'(INR), Masa prothrombin dan masa thromboplastin. Kesemua bacaan ini akan menunjukkan bahawa pesakit mempunyai masalah dalam pembekuan darah ataupun tidak

Doktor juga akan melihat dalam lubang hidung  untuk mengesan punca pendarahan tersebut sama ada ia disebabkan pendarahan pada kawasan kiesselbach plexus ataupun disebabkan perkara lain seperti ketumbuhan dan sebagainya.

10. Rawatan Hidung Berdarah

Kebanyakkan masalah hidung berdarah tidak memerlukan apa-apa jenis rawatan kerana ia akan berhenti dengan sendiri. Apabila rawatan epistaxis diperlukan, bermaksud masalah tersebut selalu berlaku ataupun pesakit mungkin mengalami pendarahan yang teruk.

Rawatan untuk menghentikan pendarahan tersebut dimulakan dengan:

1) Menghentikan pendarahan tersebut secara manual

Tekanan pada hidung dengan cara memicit hidung adalah salah satu cara yang efektif. Pesakit boleh menekan hidung tersebut selama 5 hingga ke 10 minit.

Pesakit tidak boleh mendongakkan kepala kerana darah boleh masuk ke bahagian tekak dan menutupi saluran pernafasan.

2) Guna Ais

Perkara lain yang boleh digunakan adalah ais. Bungkusan ais boleh diletakkan pada hidung untuk menghentikan pendarahan tersebut. Ini kerana suhu yang sejuk akan menyebabkan saluran darah mengecut lalu membuatkan pendarahan berhenti

3) ‘Nasal packing’

Rawatan jenis ini boleh dilakukan jika cara di atas tidak mampu memberhentikan pendarahan tersebut. Satu kain yang dibasahkan dengan ubat epinephrine akan dimasukkan ke dalam lubang hidung bergantung kepada lokasi pendarahan.

Ubat epinephrine berfungsi untuk mengecilkan saluran darah supaya pendarahan pada bahagian tersebut dapat diberhentikan

4) Cauterization(Pelecuran/Pembakaran pada saluran darah)

Jika cara di atas tidak boleh memberhentikan pendarahan, penggunaan alat untuk membakar saluran darah yang terlibat dikatakan boleh memberhentikan pendarahan yang berlaku

11. Pencegahan

Beberapa perkara boleh dilakukan oleh pesakit untuk mengelakkan hidung berdarah terutamanya mereka yang selalu mempunyai masalah tersebut:

  • Guna spray pada hidung. Terutamanya ketika cuaca sejuk dan kering
  • Elakkan daripada menghembus hidung ataupun bersin secara kuat
  • Bersin menggunakan mulut yang terbuka
  • Jangan korek hidung
  • Kurangkan atau elakkan makanan yang pedas kerana ia boleh menyebabkan iritasi pada lapisan hidung

Sumber : thediagnosa.com

KORANG MASIH INGAT “BOTAK CHIN” ? INILAH BAPA SEGALA GANGSTER YANG ADA KAT NEGARA KITA PADA MASA DULU. NAK TAHU CERITA? JOM BACA.

Wartawan Dedah Kisah Belakang Tabir Penjenayah Botak Chin Sewaktu Di Penjara

Nota Editor: 2 catatan tentang Botak Chin (antara penjenayah yang paling diburu dan dikehendaki oleh polis Malaysia satu ketika dulu) adalah hasil perkongsian Syahril A. Kadir. Beliau pernah bekerja sebagai Senior Crime Reporter di Utusan Malaysia.

SIAPA yang tidak kenal dengan penjenayah terkenal, Botak Chin? Botak Chin atau nama sebenarnya Wong Swee Chin menjadi sebutan pada era 70-an selepas terlibat dalam kes rompakan berskala besar di negara kita selain mempunyai sikap tegar dan zalim kerana dia tidak akan ragu-ragu membunuh kawannya sendiri kalau dia dapati mereka cuba belot dengannya.

Kami kongsikan semula di sini dengan izin daripada penulis. Ikuti perkongsian menarik beliau yang mungkin tak pernah anda ketahui sebelum ini.

Catatan 1

BOTAK CHIN MAHU KONGSI HASIL ROMPAKAN DENGAN TIMBALAN MENTERI, CABAR PENJARA GUNA WAYAR GANTUNG DIRINYA!

HARI ni aku nak berkongsi kisah penjenayah tersohor di Malaysia, Wong Swee Chin@ Botak Chin. Sebenarnya dia bukan berkepala botak, tetapi ia adalah gabungan dari tiga perkataan Hokkien iaitu Bo Tak Chin yang bererti Tiada (Bo), Kerja (Tak) Chin (China) atau China Tiada Kerja atau ‘jobless Chinese’.

Dia ni famous sebab kononnya dia macam Robin Hood moden, rompak tetapi bagi duit kat orang miskin. Tapi ramai yang tak tahu, dia buat macam tu sebab nak ‘cover line‘ je, bila bagi duit kat orang, ramai yang selalu ‘cover‘ dia dari ditangkap polis.

Botak Chin ni terkenal era 70-an sebab selalu terlibat dalam rompakan besar dan tak ragu-ragu untuk membunuh kawannya sendiri kalau mereka belot.

Zaman tu aku pun tak lahir lagi tetapi aku dapat banyak maklumat mengenai Botal Chin daripada pegawai polis yang paling dibencinya, Tuan Kulasingam dari CID.

Botak Chin pernah mengarahkan kuncu-kuncu menembak Tuan Kulasingam sehingga cedera parah. Aku pernah sehari suntuk duduk dengan Tuan Kulasingam masa dia pencen polis dulu untuk mendapatkan cerita pasal Botak Chin. Tak lama lepas tu Tuan Kulasingam meninggal dunia.

Baik, berbalik pada Botal Chin ni, masa dia kena tangkap dan dimasukkan ke Penjara Pudu dulu, dia pernah nak rancang untuk BOM penjara berkenaan.

Untuk itu sedikit demi sedikit dia sediakan bahan-bahan letupan seperti paku dan karbad, yang dibawa masuk ke penjara secara beransur-ansur oleh mereka yang melawatnya. Bahan-bahan letupan ini disimpan di dalam tandas. Bila wadar dapat tahu, dia pukul dan tikam wadar penjara tu setengah mati!

Seorang Timbalan Menteri Dalam Negeri pernah diarah berjumpa dengan Botak Chin kat Penjara Pudu untuk selesaikan masalah ‘keras kepala’ dia ni, tahu apa Botak Chin buat?

Dia boleh offer pulak Timbalan Menteri ni duit rompakan yang dia simpan janji dia dibebaskan dari penjara. Dia pulak nak ‘psiko’ Timbalan Menteri ni.

Dan bila Timbalan Menteri tadi enggan layan rancangannya itu, dia maki hamun Timbalan Menteri tu sebab kononnya melengahkan proses hukuman mati yang dikenakan ke atasnya.

“Pasal apa simpan gua, kasi makan, buang duit government. Gantung gua, bakar gua punya body dan buang semua habuk dalam parit dan longkang. Apa tunggu lagi? Takut kah?,” jerit Botak Chin pada Timbalan Menteri tu.

Bila diterangkan pada Botak Chin yang tali gantung masa tu kehabisan stok untuk menggantung lehernya, sekali lagi Timbalan Menteri itu dimarahi Botak Chin.

Timbalan Menteri itu memberitahunya, tali gantung (ketika itu) terpaksa ditempah di England dan ia mesti disalut dengan baldu bagi mengurangkan kesakitan yang ditanggung pesalah.

Ternyata penerangan itu membuatkan Botak Chin lagi panas hati. Botak Chin terus tanya;

“Mana lu tahu sakit kah tak sakit kah? Yang sudah mati kena gantung ada cakap sama lu?’

Untuk itu Botak Chin mencadangkan WAYAR untuk menggantung dirinya sebagai langkah alternatif. Ganas tak?

Tapi yelah, ganas macam manapun Botak Chin tak dapat lari daripada takdir. Akhirnya pada 11 Jun 1981, pada usia 28 tahun, Botak Chin menemui ajalnya setelah digantung sampai mati di Penjara Pudu.

Berakhirlah riwayat salah seorang penjenayah paling kejam dan licik di Malaysia.

NOTA:  Timbalan Menteri yang saya maksudkan ialah bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Sanusi Junid. Sanusi pernah menulis pengalamannya dengan Botak Chin itu dalam blog peribadinya.

Catatan 2

DR. MAHADEVAN: BOTAK CHIN BERDIRI TEGAK TANPA DISURUH SETIAP KALI LAGU NEGARAKU BERKUMANDANG!

Kelmarin aku ada menulis mengenai penjenayah terkenal, Wong Swee Chin@ Botak Chin, seorang lelaki yang cukup terkenal dengan kegiatan jenayahnya sekitar tahun 70-an hingga digeruni oleh masyarakat dan menjadi orang yang paling diburu PDRM ketika itu.

Tapi tak ramai tahu yang ada seorang lelaki yang telah diberi tanggungjawab untuk ‘menganalisa’ penjenayah paling berbahaya ini ketika suspek berjaya diberkas pihak polis dalam satu operasi khas. Orangnya tidak lagi dan tidak bukan, Pengarah Hospital Bahagia Tanjung Rambutan (ketika itu), Tan Sri Dr. Mahadevan.

Dr. Mahadevan adalah satu nama besar dalam bidang psikatri di negara kita. Malah untuk pengetahuan korang, beliaulah yang memberi nama Hospital Bahagia kepada pusat perubatan mental tertua di negara kita itu.

Berbalik pada kisah Botak Chin, antara cabaran awal Dr. Mahadevan adalah memastikan keselamatan petugas perubatan hospital itu. Ini kerana Botak Chin mempunyai ramai pengikut yang setia dan sanggup berbuat apa saja bagi memastikan penjenayah tersebut dapat lari sama ada dari penjara ataupun hospital.

Untuk itu, Dr. Mahadevan telah melantik tiga pegawai paling dipercayainya untuk bersedia berhadapan dgn sebarang kemungkinan sekiranya berlaku kejadian yang tidak diingini selama Botak Chin dirawat di hospital tersebut.

Bagi memantau tingkah laku Botak Chin dalam wad mental itu, Dr. Mahadevan telah memasang kamera tertutup di wad berkenaan. Tindakan ini langsung tidak disedari oleh Botak Chin.

Selama pemerhatiannya menerusi sebuah monitor khas yang disambung wayarnya dengan kamera tersebut, beliau mendapati Botak Chin seorang yang cukup disiplin, jauh dari tanggapan orang sebelum ini. Menurut Dr. Mahadevan, setiap pagi lelaki itu akan membuat latihan senaman tai chi di biliknya.

Botak Chin juga hanya meminta sebuah televisyen di biliknya dan setelah permintaannya itu ditunaikan, dia habiskan masanya dengan menonton TV hingga tamat siaran.

Yang paling beliau tidak lupa, setiap kali TV memainkan lagu Negaraku ketika tamat siaran, setiap kali itu jugalah Botak Chin akan bangun berdiri sebagai tanda hormat!

Menurut Mahadevan, Botak Chin juga digilai ramai wanita hingga menyebabkan Hospital Bahagia itu sentiasa dihujani panggilan mereka yang bertanyakan keadaan terkini penjenayah berkenaan.

Dalam pada itu, ketika ditanya oleh Dr. Mahadevan, Botak Chin menafikan yang beliau gemar membunuh, sebaliknya penjenayah itu mendakwa tidak pernah melepaskan tembakan (kecuali terpaksa) dan akan memastikan premis yang dirompaknya BEBAS dari kehadiran pelajar sekolah.

Malah Botak Chin memberitahu ada ketikanya dia hanya merompak menggunakan pistol yang tidak berisi peluru bagi mengelakkan kecederaan atau kematian mana-mana pihak.

Kata Dr. Mahadevan, Botak Chin juga pernah merayu kepada mahkamah agar organ badannya seperti mata dan buah pinggangnya didermakan kepada mereka yang memerlukan selepas dia digantung di penjara namun ia ditolak oleh hakim kerana penjenayah itu tidak pernah mengisi borang untuk berbuat demikian!

botak-chin-2

AKU DAN DR MAHADEVAN

Namun menurut Dr. Mahadevan, selepas 19 hari dirawat di Hospital Bahagia, beliau terpaksa ‘melepaskan’ Botak Chin untuk ditahan di penjara kerana pihak polis menemui sebutir peluru di hospital itu – yang dipercayai satu ugutan dan percubaan untuk melarikannya dari wad gila berkenaan!

Begitulah serba sedikit pengalaman seorang tokoh perubatan yang makin dilupakan jasa dan sumbangannya pada negara. Kini Dr. Mahadevan semakin tua dimamah usia. Beberapa tahun lepas beliau nyaris maut apabila diculik sekumpulan penjenayah dan dipukul hingga mengalami kecederaan parah.

Kali terakhir aku bertemu Dr. Mahadevan adalah kira-kira lima tahun lepas di Carcosa Seri Negara. Entah di manalah beliau sekarang.

sumber thevocket.com

PUKUL 3 PAGI… “PERIOD SAYANG DAH HABIS KE?” TANYA SI SUAMI SAMBIL MERANGKUL

Al-kisahnya pukul 3 pagi, Aku sedang tidur dan dia kejutkan aku lalu berkata,

“Period dah habis? Saya rasa dah macam lama sangat ni telekung awak tu tak bergerak”

Aku terdiam. “Hari ini dah hari keenam,” kata aku dalam hati.

“Hari ini, hari last kot. Baru tadi, saya check darah dah kering (pukul 1 pagi). Esok pagi saya mandi wajib. Nak mandi tengah malam sejuklah awak,”

“Bangun mandi wajib sekarang! Kenapa nak tunggu pagi esok? Habis awak nak tinggal Isyak padahal awak dah boleh sembahyang?”

Aku diam lagi.

“Awak ini buat mudah saja dengan sembahyang. Saya perasan orang perempuan ini suka tangguh mandi wajib. Padahal mandi wajib tak sampai 10 minit pun,”

“Sejuklah awak,” jawab aku.

“Okay kejap”

Dia keluar bilik dan ke ruang tamu dan dia masuk dengan membawa lighter.

“Awak tak tahan sejuk? Okay. Tapi kalau api awak sanggup tahan, awak tak payah mandi wajib. Kalau awak boleh tahan api maknanya awak boleh tahan api neraka sekali,” katanya sambil cuba menyalakan api dan acah nak membakar lengan aku.

Aku mengelak. Tapi aku diam lagi.

“Aten, awak tahu tak yang saya tanggung dosa awak? Saya tak mahu bila kaki saya dah selangkah boleh masuk syurga, tiba-tiba Allah panggil saya dan berkata.

“Wooii Ameq, ang nak pi mana? Ni bini ang lagu mana pulak? Ang ada tegur dia suh sembahyang bila masuk waktu, suh baca quran, jaga aurat. Meh sini meh sini! Ang kena bertanggungjawab atas dosa bini ang pulak”

“Saya tak nak disebabkan awak, saya masuk neraka sekali Aten. Kasihanlah pada saya Aten. Jangan buat saya macam ini. Kalau awak sayang saya, awak pergi mandi wajib dan sembahyang Isyak,”

“Lagi satu, awak kan tahu saya ini sibuk berkerja siang malam, kadang-kadang tak sempat nak membaca Quran. Apa salahnya kalau awak wakilkan saya baca Quran? Nabi kata, seorang sahaja dalam rumah itu ada orang yang membaca Quran, inshaAllah seluruh keluarga itu akan terhindar dari fitnah dajjal,”

Hmm aku diam lagi. Aku tak sentiasa istiqamah baca Quran. Selalu on off baca Quran. Sepatutnya tiap-tiap hari kan?

Dia datang dan belai lembut rambut aku.

“Awak selalu kata ‘kenapa kita tak dapat anak lagi’. Awak selalu nak mempertikaikan perancangan Allah. Aten, Allah nak kita bersabar. Allah nak kita sembah dan merayu pada dia. Cubalah sembahyang awal dan jangan lambat, sembahyang biar kusyuk, lepas sembahyang berdoa pada Allah dan baca Quran. Saya tengok awak lepas sembahyang kadang-kadang tak sempat baca doa dah terus bangun. Macam mana Allah nak bagi anak?”

Aku mula bertanya.

“Bukan saya nak mempertikaikan. Tetapi ini satu persoalan. Kenapa ada orang yang tak sembahyang, tak berpuasa, tak baca Quran, tak menutup aurat boleh mengandung dan senang dapat anak?”

“Ini jawapan saya. Dia mungkin diberi anak yang cepat, tapi dia tetap akan ada dugaannya. Bila besar, anak-anak dia tak nak dengar cakap, degil dan bermasalah. Orang kata ada anak ini best, tetapi anaklah dugaan paling terbesar dan sebab anak jugak kita boleh masuk neraka kalau kita tak pandai membimbing dan kalau kita tak berubah jadi ibu bapa yang baik dari segi agama.

“Walaupun dia memang dah cukup baik Allah tetap bagi dugaan. Cuba tengok ada yang dapat anak dari kecil lagi menghidap penyakit perlukan duit puluhan ratusan ribu, ada yang dapat anak tak cukup sifat. Itu semua dugaan dan ujian dari Allah.

“Orang yang tak ada anak ada dugaannya, orang yang ada anak dugaannya juga. Allah akan menduga semua orang. Sebab itu saya selalu kata baca doa baca Quran. Bila Allah rasa kita dah cukup baik, Allah akan bagi anak pada kita sebab Allah tahu kita dah cukup layak untuk jadi ibu bapa yang baik untuk anak anak kita nanti. Saya tak suka awak mempertikai perancangan Allah. Awak tahu tak perancangan Allah adalah sebaik-baik perancangan buat manusia?” katanya

Aku menangis, aku bersyukur kerana ada suami yang selalu memberikan sokongan dan menasihatkan aku. Dia tidak pernah nak menyalahkan aku dan dia selalu berkata bahawa ‘Ini semua ujian dari Allah,”.

‘Dah, bangun. Pergi mandi wajib’.

Kredit tulisan asal kepada Cik Atenn Azlan, “Aku sedang tidur dan dia kejutkan aku lalu berkata,”

Sumber : Gedebak Kisah Benar

[Video] Shuib Menangis, Sebak Umum Tinggalkan Sinar.fm

Penyampai radio Sinar. fm, Shuib tidak dapat menahan sebak ketika mengumumkan untuk mengundur diri daripada stesen radio berkenaan.

Menurut Shuib, dia terpaksa membuat keputusan tersebut atas sebab tuntutan kerja dan kekangan masa yang tidak mengizinkan.

“Sebenarnya saya ada pengumuman untuk semua hari ini… Sinar.fm selamat tinggal kerana ini adalah hari terakhir saya di sini

“Selepas dua tahun berada di Sinar.fm bermula 30 November 2015 sehingga hari ini, 29 November 2017.

“Saya sayang SINAR. Fm, di beri peluang menjadi penyampai radio di sini untuk segmen pagi, Sepahtu Sinar memang satu penghormatan besar untuk saya.

“Tetapi hari ini saya terpaksa membuat keputusan dan tamatnya saya di stesen radio ini adalah atas dasar tuntutan kerja dan masa. Saya ucapkan terima kasih kepada semua pendengar Sinar.fm,” katanya.

Dalam pada itu, menerusi perkongsian video Sinar.fm melalui akaun Instagram (IG) rasmi, jelas terpampang wajah sedih Jep dan juga Rahim yang mengendalikan segman Sepahtu Sinar bersama Shuib.

Video itu juga turut merakamkan rakaman suara Shuib yang ternyata tidak dapat menahan sebak ketika memberitahu perkara tersebut kepada Jep dan Rahim.

Shuib tidak dapat berada di konti Sepahtu Sinar disebabkan perlu menjaga isterinya, penyanyi Sarah Raisuddin yang sedang sakit.

Sarah dikejarkan ke hospital pada malam Selasa disebabkan tekanan darah rendah secara tiba-tiba.

Foto: IG Shuib / Facebook SINAR.FM

Sumber : Gempak