‘Aduhhh…besi tuu…!’

REMAJA terpaksa tahan sakit kira-kira 30 minit selepas kaki kirinya tercucuk rod besi di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA).

Remaja lelaki 17 tahun itu dikatakan sedang menunggang motosikal sebelum tercucuk besi terbabit, dalam kejadian pada 3.15 pagi, Sabtu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Ayer Keroh, Penolong Penguasa Bomba, Mohd Hamdan Sudin, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada Hospital Pantai, Ayer Keroh, pada 3.20 pagi.

Beliau berkata, sebaik menerima panggilan, tujuh anggota termasuk pegawai diketuai Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II, Muhammad Asraf Abdullah bergegas ke hospital.

“Setibanya di hospital, kerja pemotongan besi dilakukan dengan menggunakan peralatan khas dan mangsa berada dalam keadaan stabil.

“Bomba memerlukan kira-kira 10 minit untuk memotong besi itu sehingga pendek sebelum dia dibawa untuk rawatan lanjut oleh pihak hospital,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, pihaknya difahamkan, sebelum kejadian mangsa dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh.

“Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi dia terlanggar besi di jalan raya dan terjatuh,” katanya.

Sumber : My Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *